Wednesday, June 15, 2016

Perkhidmatan MyBas Kini Di Ipoh



Satu perkembangan menarik buat penduduk sekitar Ipoh. Perkhidmatan MyBas yang telah beroperasi dengan jayanya di beberapa negeri seperti Seremban dan Kangar kini beroperasi di ibu negeri Perak. Ia merupakan hasil usaha Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerja sama The Combined Bus Services Sdn Bhd (TCBS).

MyBas Ipoh ini dikatakan akan melalui beberapa kawasan seperti Chemor, Stesen 18, Mengelembu, Lapangan Terbang Sultan Azalan Shah, Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, AEON Ipoh dan stesen-stesen komuter. TCBS telah diberi kepercayaan beroperasi di laluan terbabit di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST).

 “Kerajaan bersetuju menjalin kerjasama dengan pihak TCBS selepas melihat rekod baik syarikat itu selain percaya dengan jaminan mereka untuk memastikan kekerapan perkhidmatan bas dan waktu operasi berjalan lancar serta memantau maklumat jumlah penumpang bas dengan mengguna­kan Sistem Kedudukan Global (GPS),” katanya.

Pengenalan MyBas ini mampu menggantikan Dana Sokongan Bas Henti-henti (ISBSF) secara berperingkat-peringkat dan ia merupakan penyelesaian jangka panjang yang lebih baik. Selain itu ia diharap dapat terus menampung perkembangan jumlah penumpang pengangkutan awam yang seramai 5.9juta orang setahun. Sasaran utama MyBas adalah meningkatkan jumlah penumpang kepada 8.8 juta orang.

Perlu ditekankan juga, tiada perubahan pada tambang bila MyBas mula beroperasi. Soal keselamatan pula dititikberatkan dengan menetapkan usia kenderaan MyBas yang akan berkhidmat di laluan terbabit tidak melebihi tujuh tahun.

No comments:

Post a Comment