Thursday, June 26, 2014

Penutupan Landasan Gemas-Gua Musang Ditangguh


Dalam kekalutan Kesatuan Pekerja KTMB (RUM) menentang penutupan ini, pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan rasa tanggungjawab telah mengemukakan rayuan kepada pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya penutupan sementara laluan Gemas-Gua Musang ini ditangguhkan.

Keputusan penutupan ini dibuat berdasarkan kepada pemeriksaan berkala oleh jurutera SPAD dan hasil siasatan telah dikemukakan kepada KTMB pada Januari 2012. Tata pemeriksaan ini adalah mengikut kuasa dibawah peruntukan Seksyen 105 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan KTMB telah sedia maklum akan kondisi landasan yang kritikal dan selenggaraan perlu dilakukan pada kadar segera.

Namun penutupan sementara yang sepatutnya berkuatkuasa pada 27 Jun, ditangguhkan setelah KTMB buat rayuan kepada SPAD pada 25 Jun lalu. Pihak KTMB memohon supaya penutupan laluan ditunda sehingga 15 Ogos. 



Permohonan rayuan tersebut telah dipertimbang dan SPAD bersetuju untuk membenarkan penangguhan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

1. KTMB bersetuju memberi jaminan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk meningkatkan peraturan dan pemantauan operasi tren
2. Meningkatkan penilaian keatas landasan dengan mengenakan had kelajuan yang lebih rendah jika perlu
3. Meningkatan pemantauan dan penyenggaraan infrastruktur landasan
4. Menyediakan stokereta yang lebih berkualiti
5. Kerahan tenaga kerja daripada kakitangan KTMB untuk menangani situasi kritikal
6. Menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau semua pelan tindakan
7. Melaksanakan program komunikasi dengan pihak berkepentingan (terutamanya orang ramai dan kakitangan KTMB) bagi memastikan penutupan separa ini dapat dilaksanakan dengan lancar


Berasaskan kepada syarat-syarat di atas, KTMB bersetuju sebagai syarikat pengendali berlesen yang akan bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku insiden ke atas operasi perkhidmatan tren di sektor Gemas-Gua Musang.

Dengan ini juga, SPAD akan mengambil tindakan penutupan serta-merta jika ada insiden-insiden yang berlaku sepanjang tempoh penangguhan penutupan sehingga Ogos nanti.

Jadi pihak RUM jangan cuba putar alam mengatakan penutupan sementara landasan sektor ini DIBATALKAN. Entah dari mana timbul dibatalkan pula? Jangan cuba memperbodohkan ahli kesatuan sendiri dengan mengubah kenyataan DITANGGUH dengan DIBATAL.

Kata-kata memang boleh diubah sesuka hati. Namun nyawa yang melayang tidak akan kembali lagi. Jadi jangan ambil enteng soal keselamatan. SPAD ingin mengambil kesempatan ini menyeru agar semua pihak dapat bekerjasama bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa diberi keutamaan dalam perkhidmatan pengangkutan awam.

**Gambar-gambar di atas adalah dari tinjauan yang dibuat oleh pihak SPAD di beberapa lokasi yang dikesan kritikal.

No comments:

Post a Comment