Wednesday, May 16, 2018

SPAD Pengasas Permodenan Pengangkutan Awam Negara


Pelbagai perubahan dan penambahbaikan pengangkutan awam darat berlaku sejak penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 3 Jun 2010. Tertubuhnya SPAD ini adalah selepas Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 pada bulan Mei 2010.

SPAD yang diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri telah berjaya merangka polisi, merancang dan mengawal selia pengangkutan awam darat seperti bas, teksi, rel dan kenderaan berat. SPAD juga menjadi fungsi pemudah cara antara pengendali dengan kerajaan serta hubungan antara kerajaan bagi membawa masuk teknologi kaitan pengangkutan awam darat.

Sebelum adanya SPAD, pengangkutan awam negara kita berterabur dan banyak pembaziran sumber serta tidak efisien. Contoh khidmat bas henti-henti di bandar berlaku banyak pertindanan sehingga ada tiga syarikat pengendali  di laluan sama.

Selain itu, banyak syarikat pengendali bas henti-henti ini tidak menepati masa dalam mengambil dalam laluan mereka. Perkara ini menghilangkan kepercayaan pengguna dalam menggunakan khidmat mereka. Perkara ini mengecilkan margin keuntungan syarikat pengendali. Akhirnya syarikat gagal menampung kos operasi dan membawa kepada kerugian jangka panjang.

Begitu juga dengan khidmat teksi sebelum kehadiran SPAD. Reputasi perkhidmatan teksi menerima kutukan sehingga ke luar negara kerana menipu caj dan enggan menggunakan meter. Ada pemandu yang caj pelancong sebanyak RM1000 untuk jarak perjalanan antara KLCC ke Bukit Bintang. Belum lagi kita sentuh soal kebersihan teksi, gangguan seksual dan gengsterism.

Disini SPAD memainkan peranannya. SPAD hadir menyusun atur dua sistem pengangkutan ini sebagai contoh. Laluan bas henti-henti telah diselaraskan supaya tiada pertindanan laluan antara dua syarikat pengendali. Malah peraturan diketatkan supaya syarikat beroperasi menepati masa bagi mengurangkan waktu menunggu. Perkara ini telah berjaya memperbaiki margin keuntungan syarikat.

Teksi pula, SPAD telah membentuk akta dan memperkasakan penguatkuasaan bagi memperbaiki mutu perkhidmatan. Akta yang dibuat adalah bagi tujuan mendidik bukan untuk menghukum semata-mata. Sejak campurtangan SPAD, khidmat teksi kembali mendapat kepercayaan pelancong dan statistik kes penipuan turut menurun saban tahun.

Dua contoh ini menunjukkan peri pentingnya SPAD dalam membentuk pengangkutan awam negara. Fungsinya amat spesifik dan banyak kesan positif dapat kita lihat pada perkhidmatan awam lain seperti rel, bas ekspres dan kenderaan barangan. Tahniah dan terima kasih buat warga SPAD!

No comments:

Post a Comment