Saturday, April 9, 2016

Susah Nak Masuk Kilang Pembekal Ayam McDonald's Malaysia! Ada Sebabnya!


Bila sendiri tidak pernah melihatnya, memang susahlah nak percaya. Begitulah perasaan terdetik di fikiran bila ada pihak mengakui produknya adalah terbaik. Sesiapa sahaja boleh mengakui produknya segar berkualiti tetapi tidak semua yang berani menunjukkan buktinya.

Tapi bagi McDonald's Malaysia (MY) ia bukan mainan mulut bagi melariskan produk. Pihak McDonald's MY tidak ambil mudah tentang kualiti bahan yang digunakan dalam setiap produk sajian di rangkaian restorannya seluruh negara. Segalanya mengikut piawaian yang ketat dan paling penting ianya 100% HALAL!

Sebelum ini kita berkesempatan melihat sendiri MacFood Services (M) Sdn Bhd iaitu pengeluar tunggal produk McDonald's MY yang telah beoperasi sejak 1987. Kali ini para media diberi peluang untuk melawat kilang pembekal ayam kepada McDonald's MY iaitu Dinding Poultry Processing Sdn Bhd (DPP) yang terletak di Setiawan, Perak.

Seperti lawatan di MacFood, DPP juga menitik beratkan soal keselamatan kilang termasuk soal kebersihan dan kesihatan para pelawat. Jika ada pelawat yang dikesan sakit seperti selsema biasa, terus tidak dibenarkan masuk ke kawasan kilang. Perkara ini turut ditekankan kepada setiap kakitangan DPP sendiri.

Turut bersama dalam lawatan ini adalah Pengarah Urusan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar. Ketibaan para media disambut oleh Pengurus Besar DPP, Tony Wo Kah Keat, Pengarah Eksekutif Dindings Poultry Development Center Sdn Bhd, Ang Pun Heng dan Pengarah Hal Ehwal Pembangunan Perniagaan & Korporat Malayan Flour Mills Berhad, Azhari Arshad.


Penerangan terperinci telah disampaikan oleh Azhari Arshad dari pengurusan reban, pengurusan ayam, pembesaran ayam hinggalah ke pembungkusan bahan mentah untuk dipasarkan. Setiap peringkat pemprosesan ini akan dipantau serta diaudit oleh Jabatan Veterinar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dari masa ke semasa. 

Rebannya pula bukanlah seperti yang biasa kita lihat di kawasan perkampungan dan dibawah rimbunan kelapa sawit. Bukan berdinding papan, beratap zink dan ada ruang terbuka untuk ayam keluar mencakar tanah. Semua ayam di DPP dipelihara dalam persekitaran terkawal yang dilengkapi dengan teknologi tinggi.



Persekitaran terkawal ini adalah penting bagi mengelak ayam dari kemurungan atau serangan penyakit. Tidak perlu bimbang akan hujan ribut atau panas terik yang berubah-ubah dengan drastik. Suhu dalam reban juga dapat dikawal sebaik mungkin dengan adanya kipas ventilasi besar. Bila panas, kipas ini akan diaktifkan bagi mengeluarkan haba dengan pantas. Selain itu ia juga berfungsi bagi mengekalkan kesegaran udara dalam reban.

Sebelum masuk melawat ke tapak kilang, para media dikehendaki memakai suit khas topeng muka, serkup kepala dan kasut getah. Kesemua barang peribadi seperti jam tangan gelang dan cincin perlu ditanggalkan.  Setiap pelawat akan diimbas bagi mengelak barang-barang tersembunyi terlepas masuk ke tapak kilang. 


Ingat dah selesai? Belum lagi, pelawat dikehendaki membasuh tangan dan melalui tadahan kolam kecil bagi memastikan kasut terendam dalam air bercampur klorin. Langkah ini bagi membunuh kuman yang ada pada tapak kasut dipakai tadi. Setiap langkah para pelawat juga akan diperhatikan bagi segala peraturan kilang dipatuhi.

Setakat ini sahaja sudah banyak peringkat perlu dilalui para pelawat. Semua ini nampak leceh, akan tetapi keyakinan bahawa tahap kualiti pembekal ayam dari DPP ke McDonald's memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Segala bahan mentah yang disediakan oleh DPP adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh McDonald's MY. 

No comments:

Post a Comment