Pengerusi MLKN, Datuk Ehsanuddin Harun Narrashid menjangkakan angka ini akan terus meningkat. Dengan itu, beberapa penambahbaikan perlu direalisasikan segera bagi memastikan modul pembelajaran dan infrastruktur program seiringan dengan keperluan semasa.
Mungkin ramai menganggap PLKN ini idea yang dicedok dari negara-negara lain seperti Singapura. Jangan terlalu cepat membuat andaian. Kerana perlaksanaan PLKN punyai keunikan tersendiri dan untuk lebih jelas eloklah kalau perisik kongsikan beberapa sudut sejarah dan metodologi yang diserapkan dalam program ini.
SEJARAH
Awal kemunculan idea PLKN ini bertitik mula dari hasil resolusi Kongres Patriotisme Negara yang berlangsung di Bangi, Selangor pada 24 hingga 26 Oktober 2002. Kesinambungan dari resolusi itu, Datuk Seri Najib yang ketika itu Menteri Pertahanan telah mengetuai jawatankuasa khas bagi merangka pelaksanaan PLKN ini.
Hasilnya, pihak Kementerian Pertahanan telah membentuk Akta Khidmat Negara yang kemudiannya diluluskan oleh Parlimen pada akhir tahun 2003. Akta Latihan Khidmat Negara 2003 ini juga turut dikenali sebagai Akta 628. Melalui akta ini, program latihan ini diwajibkan kepada belia berusia 18 tahun.
Mungkin ramai tidak tahu bahawa Khidmat Negara sebenarnya bukanlah suatu perkara baru di Malaysia. Kerana Akta 628 bukanlah akta yang pertama digubal dalam perihal Khidmat Negara ini. Sebelum ini kerajaan-pasca merdeka telah pun menguatkuasakan sebuah akta iaitu Akta National Service 1952.
Untuk pengetahuan pembaca, negara kita telah membuat dua kali panggilan Khidmat Negara. Kali pertama adalah pada tahun 1952 bagi mengerah tenaga pemuda di Tanah Melayu dalam memerangi pengganas komunis. Kedua adalah pada tahun 1963-1966 iaitu sewaktu konfrontasi Indonesia-Malaysia.
Jelaslah pembentukan khidmat negara pada era pasca dan pra merdeka lebih menjurus kepada tujuan pertahanan dan keselamatan negara. Modus operandinya ketika itu lebih menekankan latihan ketenteraan yang berbentuk kerahan tenaga atau military conscripts. Melihat kepada situasi dan konflik ketika itu, fahamlah kita mengapa konsep begini digunapakai.
PLKN 2004
Dalam peredaran masa, kita tidak lagi nampak perlunya penekanan kepada kerahan tenaga memandangkan negara tidak mengalami masalah ketegangan atau ancaman serangan yang berlaku seperti sebelum ini. Akan tetapi Malaysia menerima ancaman baru dari dalam iaitu permasalahan belia selaku pewaris generasi negara.
Saban tahun, negara kita terus dirundum seribu satu masalah belia dengan bermacam gejala sosial dan jenayah. Malah golongan belia sudah hilang semangat patriotisme, kesukarelaan, disiplin dan kemasyarakatan apabila sikap individualistik dan materialistik menguasai jiwa anak muda kita hari ini.
Oleh demikian, kerajaan menampilkan pendekatan berbeza dalam Khidmat Negara 2004. Tiada lagi konsep kerahan bagi tujuan persediaan ala ketenteraan semata-mata. Objektif umumnya adalah untuk menanam semangat patriotisme, memupuk perpaduan kaum serta intergrasi nasional dan membentuk perwatakan positif di kalangan belia Malaysia.
Para peserta PLKN akan dipilih secara rawak menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mereka yang terpilih perlu komited mengikuti kursus selama tiga bulan di kem-kem yang dibina khas di seluruh negara. Setiap peserta akan melalui empat modul iaitu modul fizikal, modul kenegaraan, modul pembentukan watak positif dan modul khidmat masyarakat.
Setelah 10 tahun berlalu, sudah tiba waktunya penambahbaikan dan modul baharu diterapkan ke dalam program ini. 10 tahun, merupakan satu tempoh yang cukup untuk kita mengesan dan memperbaiki sebarang kelemahan yang berbangkit di kesemua 81 buah pusat latihan khidmat negara yang ada setakat ini.
Difahamkan segala perubahan itu telah pun dirangka dan transformasi PLKN yang sepatutnya dijadual bermula pada sesi latihan Ogos 2014 ini terpaksa ditunda berikutan insiden MH370 dan MH17 melanda negara.
Antara transformasi yang bakal dilakukan adalah tempoh latihannya yang 90 hari sekarang akan dipendekkan menjadi 21 hari bagi memastikan lebih ramai belia berpeluang menyertai program Khidmat Negara ini.
Mempertingkatkan keupayaan tenaga pengajarnya atau fasilitator supaya dapat memberikan latihan yang berkesan kepada para pelatih. Latihan dari sudut perpaduan harus ditekankan memandangkan timbul beberapa insiden perkauman dan diskriminasi jantina dilaporkan berlaku di beberapa pusat latihan. Walaupun isu ini masih dikira terpencil namun pencegahan awal seeloknya dilakukan.
Pengerusi PLKN, Datuk Ehsanuddin juga berpendapat bahawa satu mekanisme harus dirancang bagi memastikan kesinambungan pembelajaran pelatih. Kerana kita tidak mahu ianya terhenti setakat di pusat latihan. Sebaiknya berterusan hingga selepas tamat latihan.
Beliau mencadangkan berkemungkinan untuk membentuk sebuah koperasi bagi para peserta PLKN. Idea ini dilihat bertepatan bagi mengekalkan momentum pembelajaran yang diperolehi ketika latihan supaya sebati dalam hidup para peserta.
Selain itu, beberapa penambahbaikan lain juga boleh dipertimbangkan oleh pihak bertanggungjawab iaitu dari sudut kebersihan. Standad kebersihan tempat tinggal di pusat latihan harus dititikberatkan kerana masih terdapat lokasi latihan yang mempunyai tandas kotor sehingga mengundang penyakit kepada para pelatih.
Penggunaan bahasa pengantar bahasa Malaysia di pusat latihan tidak sepatutnya menjadi penghalang memandangkan ia merupakan bahasa kebangsaan. Tidak harus timbul kelonggaran penggunaan bahasa lain. Cuma pelatih-pelatih harus lebih tolak ansur untuk tidak memperlekeh gagap atau pelat bangsa lain yang cuba berbahasa Malaysia. Perbuatan ini akan membawa kepada pengasingan diri antara pelatih.
No comments:
Post a Comment