Friday, June 10, 2011

Penyenaraian MSM Holdings di Bursa Saham satu keputusan bijak, kata Yusof Noor


Sebaik sahaja berita penyenaraian MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM), syarikat milik FELDA Global ke pasaran utama Bursa Malaysia menjadi rasmi, seperti diduga, ada sahaja pihak yang tidak puashati, termasuk bangsa kita sendiri. Walhal penyenaraian itu sebenarnya memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan peneroka FELDA khasnya yang memegang 20 peratus saham dalam MSM melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Paling menyedihkan apabila ada bangsa sendiri yang mengatakan Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok tidak patut menjualnya kepada MSM Holdings. Malah ada juga orang kita (orang Melayu!) dalam tweetnya mengatakan tindakan MSM itu sebagai "hampeh" dan mencadangkan lebih baik diberikan kepada orang Cina daripada FELDA.

Bekas pengerusi FELDA dan juga pengerusi Yayasan FELDA, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor terkejut apabila mendapat tahu hal ini. Tetapi beliau tidak melenting dan menjawab dengan tenang apabila diajukan soalan.

Yusof mengakui sebelum pembelian itu terdapat juga pihak-pihak tertentu yang cuba potong jalan MSM sebab mereka tahu sudah ia adalah bisnes yang boleh memberikan keuntungan yang banyak kepada FELDA.

"Lembaga Pengarah tidak buat keputusan begitu sahaja. Mereka buat keputusan berdasarkan kajian yang mendalam terhadap industri gula.  apabila kita buat keputusan, kita mesti memikirkan apakah ia dapat beri faedah kepada komuniti FELDA. Ini adalah satu peluang kepada peneroka untuk mendapat keuntungan yang lebih tinggi.

"FELDA tidak boleh bergantung kepada satu komoditi sahaja. Selama ini kita bergantung kepada kelapa sawit. Tak mungkin sawit dapat bertahan selama-lamanya kerana tanah kita tak sesubur dan seluas negara lain. Selepas lebih 20 tahun, industri sawit mungkin dikawal oleh negara lain, jadi apa jadi dengan peneroka? Langkah penyenaraian ini adalah langkah futuristik yang berteras kepada kajian. Apa yang dibuat oleh MSM Holdings adalah keputusan yang sangat bijak," kata Yusof.

MSM Holdings akan disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia pada 28 Jun ini dan akan menutup tawaran runcitnya pada 13 Jun ini. Melalui tawaran awam permulaan (IPO), MSM akan menerbitkan 234.564 juta saham biasa bernilai RM0.50 sesaham dan ia dijangka mengumpul dana sebanyak RM792 juta. Sebanyak 28.12 juta saham diperuntukan kepada pelabur runcit pada harga lebih rendah daripada harga institusi, iaitu 97 peratus daripada RM3.38 sesaham.

Berdasarkan harga runcit pada RM3.38 sesaham, pelaksanaan IPO itu dijangka mengumpul dana sebanyak RM422.5 juta untuk MSM. CIMB Investment Bank Bhd. (CIMB Investment) telah dilantik sebagai penasihat utama dan koordinator global tunggal MSM untuk penyenaraian tersebut.


No comments:

Post a Comment