Sunday, August 25, 2013

Insiden Genting Highland: Di Mana Salah SPAD?


Insiden yang mengorbankan 37 nyawa di Genting Highland (GH) telah dijadikan platfom buat para blogger pembangkang dan pro kerajaan mengambil jalan mudah menyalahkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Persoalannya adakah blogger-blogger yang menuduh ni faham mengenai prosedur perundangan dan operasi berkaitan jalan raya serta pengangkutan? Mereka juga lebih menjurus kepada cubaan mengaburi fakta dengan mencipta kesalahan fana terhadap agensi seperti SPAD. 

Di sini rakan-rakan blogger diluar sana dinasihatkan supaya meneliti beberapa faktor utama seperti tahap keselamatan laluan, statistik pengangkutan bas, syarikat bas yang terlibat, kondisi pengangkutan awam yang digunakan, latar belakang pemandu bas dan lain-lain yang berkaitan. 

Dengan melakukan analisis seperti ini, barulah kita dapat melihat gambaran lebih luas di mana kelemahan serta penambahbaikan harus dilakukan. Bukan dengan membuta tuli menunding. Kesudahannya memberi lebih peluang kepada pembangkang untuk menyerang. 

Dalam perihal meluluskan bas dan lesen pemandu ianya terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Manakala pemeriksaan dan senggara bas bagi mendapat kelulusan meneruskan perkhidmatan pula dilakukan oleh JPJ dan Puspakom. Kuasa pihak SPAD di sini hanya terhad bagi meluluskan lesen pengendali dan laluan bas.  

Jika kita lihat kepada faktor spesifikasi dan tahap keselamatan laluan. Sepatutnya pihak berkuasa tempatan harus tegas dalam menetapkan syarat keselamatan minimum yang perlu kerana jalan ke Genting Highland ini adalah jalan persendirian. 

Kepakaran pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga perlu dilibatkan bagi memeriksa dan mentafsir kondisi kecerunan serta tahap keselamatan kepada pengguna. Ini kerana, walaupun jalan itu milik persendirian selagi ada kenderaan awam menggunakannya ianya mesti tertakluk kepada kelulusan JKR.

Selain itu perkongsian maklumat mengenai pemandu bas ekspres dan awam oleh pihak polis. Kerana buat masa ini Polis memiliki pangkalan data maklumat pemandu bas yang mempunyai kesalahan lampau. Seharusnya data ini tranperansi kepada SPAD dan pengendali bas bagi memudahkan kerja penyaringan dilaksanakan.

Difahamkan terdapat beratus-ratus transit berlaku di antara lokasi sekitar Lembah Klang ke Genting Highland setiap bulan. Ini bermakna lebih seribu perjalanan bas-bas awam bergerak ulang alik masuk dan keluar Genting Highland sepanjang tahun. Maka adalah tidak tepat jika kita meletakkan kesalahan bulat-bulat kepada sesebuah agensi di atas sesuatu kejadian yang menimpa tanpa melihat faktor yang diterangkan tadi. 

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid dihubungi bagi mendapatkan komen beliau.
"Saya ingin mencadangkan supaya lesen pemandu untuk pengangkutan awam dikeluarkan oleh SPAD dan bukannya JPJ. Ini bagi diselaraskan dengan prosedur sedia ada SPAD dalam mengeluarkan lesen pengendali." kata Syed Hamid.

Cadangan ini dilihat bertepatan bagi memudahkan kerja pemantauan dilakukan dengan lebih efisien memandangkan SPAD juga mempunyai unit penguatkuasaan yang semakin cekap dalam mengengkang salah laku pemandu pengangkutan awam. 

"Ini bukan masanya menunding jari, kejadian ini perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan penyelesaian konkrit dapat dicapai." Tambah Syed Hamid lagi.

Jadi jangan kita dok syok nak balun tanpa meneliti fakta-fakta dinyatakan tadi.

No comments:

Post a Comment