Hujan lebat dan banjir yang melanda pada 30 Januari lalu tidak mematahkan semangat pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang untuk memilih wakil rakyat mereka.
Akibat hujan dan banjir, tidak sampai 70 peratus penduduk keluar mengundi tetapi yang penting, BN menang dengan majoriti yang lebih tinggi.
Paling jelas, undi yang banyak diperolehi daripada peneroka Felda. Pengundi India juga meningkat. Orang Cina pula tidak ramai keluar mengundi kerana kebetulan kawasan yang paling ramai diduduki bangsa itu teruk dilanda banjir, terutama di bandar Labis Tengah.
Cubaan pembangkang untuk mempengaruhi peneroka di ketiga-tiga Felda di Tenang ternyata kurang berhasil. Di Felda Tenang, calon BN mendapat 795 undi berbanding calon PAS, 320 sementara peti undi di Felda Chemplak menyaksikan calon BN mendapat 985 dan PAS 132. Di Chemplak Barat pula calon BN mendapat 838 undi dan PAS mendapat 142. Jika dicampurkan kesemuanya, BN mendapat 2618 undi dari peneroka, berbanding hanya 600 yang dipungut PAS
Berikutan keputusan itu, jelas kepercayaan peneroka kepada kerajaan masih utuh. Seharusnya kerajaan mengambilkira dan mengingati keputusan ini. Janganlah apabila sudah menang, perhatian kepada peneroka Felda dikurangkan.
Banyak lagi yang boleh kerajaan lakukan untuk peneroka, terutama generasi muda. Kerajaan harus meningkatkan usaha mendekati generasi muda Felda. Mewujudkan gelanggang futsal sahaja tidak memadai. Kerajaan harus melipatgandakan usaha menyalurkan maklumat cepat dan tepat kepada peneroka dengan menggunakan pendekatan yang lebih terkini untuk mencantas segala dakyah palsu yang disebarkan oleh pembangkang.
Penyaluran maklumat yang cepat dan tepat kepada peneroka amat penting untuk menangkis usaha pembangkang mempengaruhi minda mereka pada masa akan datang. Buat apa wujudkan pusat komuniti jalur lebar di kawasan Felda jika beberapa kerat sahaja peneroka yang memiliki komputer atau laptop di situ?Ataupun mereka tak tahu guna? Apakah usaha lain kerajaan atau pengurusan Felda mewujudkan masyarakat Felda yang peka IT?
Di segi penyebaran maklumat, kita perlu ingat, tak semua orang membaca akhbar dan tak ramai orang peka IT atau tahu menggunakan internet. Sehubungan itu pendekatan lain juga perlu diambil kira untuk penyaluran maklumat kepada peneroka seperti SMS, pengeposan Risalah/Surat dan lawatan pintu ke pintu.
Tugas mendekati hati peneroka Felda juga tidak harus diserah bulat-bulat kepada Adun sahaja. Pengurus kawasan dan Ketua Peneroka juga perlu dididik dengan ilmu Public Relations/Human Relations. Dah selalu sangat saya mendengar aduan peneroka mengenai Ketua Peneroka atau Pengurus Felda yang sombong dan tidak mahu bercampur dengan orang bawahan.
Untuk mengelakkan golongan muda terbabit dengan gejala sosial yang kurang sihat, Felda juga mungkin boleh menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan Untuk mewujudkan Rakan Muda Felda Prihatin atau seumpamanya. Saya yakin pembabitan dalam aktiviti seumpama ini dapat membantu generasi muda Felda membentuk jati-diri.
Hubungan antara pihak pengurusan Felda dengan peneroka Felda harus dua hala dan bukan sehala. Jika perkara-perkara seperti ini tidak diambil perhatian, ia akan menjadi seperti bisul, semakin dibiar, semakin besar dan akhirnya pecah.
Pembangkang sedar keputusan ini menunjukkan mereka tidak mempunyai tempat di hati orang Felda - buat masa ini. Tetapi saya yakin mereka tidak akan patah semangat.
Saya dengar pelbagai strategi sudah diatur oleh pembangkang untuk mendekati generasi muda Felda, terutama pelajar sekolah, IPTA dan IPTS. Mereka menggunakan segala medium yang ada untuk menyampaikan dakyah sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum akan datang.
Selain menggunakan blog, Facebook dan twitter, mereka juga melakukan pendekatan sosial dengan menghadiri atau menganjurkan kegiatan kemasyarakatan dan keagamaan dari semasa ke semasa.
Apakah pula pendekatan yang akan dibuat oleh pengurusan Felda dan kerajaan BN selepas ini? Semoga mereka jangan happy sangat dan jangan leka!
No comments:
Post a Comment