Monday, February 16, 2015

Hentian Bas Greenwood Seribu Satu Masalah Bakal Ditutup Tahun ini!


Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengumumkan akan menghentikan operasi hentian bas ekspres sementara Greenwood selepas 8 Mac 2015. Berita ini sebagai persediaan kepada para pengguna perkhidmatan di hentian terbabit.

Hentian yang menjadi lokasi perkhidmatan bas ekspres ke Pantai Timur ini akan dipindahkan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Dengan perpindahan ini dijangka dapat menyelesaikan banyak permasalahan yang menjadi rungutan pengguna, pengendali dan penduduk sekitar Greenwood.

Antara aduan yang paling banyak diterima pihak SPAD adalah mengenai kedudukan hentian terbabit yang menjadi punca kesesakan jalan raya terutama ketika mengambil dan menurunkan penumpang. Lampu isyarat yang terpasang pula bukan penyelesaian konkrit, kerana kesesakan menjadi lebih parah ketika waktu puncak, berikutan semakin banyak perumahan baru di bina di sekitarnya. 

Kenderaan persendirian dari beberapa buah taman seperti Taman Gombak, Berjaya, Melewar, Koperasi Polis 1 dan Greenwood Indah bertemu ke laluan utama. Selain daripada itu, laluan susur keluar masuk bas di hentian terbabit juga terlalu sempit sehingga menyukarkan mobiliti bas. 

Bila tiba musim perayaan, berderet-deret bas ekspres beratur panjang menunggu lama mengambil penumpang untuk ke Pantai Timur. Keadaan ini bukan sahaja merimaskan malah meningkatkan risiko kemalangan kepada orang ramai, terutamanya kanak-kanak sekolah berhampiran. 

Belum lagi kita sebut tentang kebersihan hentian terbabit dengan tandas kotor diburukkan dengan vandalisme, longkang tersumbat dan lebih mencacatkan penglihatan dengan kedudukan tong sampah besar di tepi jalan yang terletak tidak jauh dari laluan utama. 

Mungkin sudah ada yang mula merungut dengan berita ini, namun keputusan perpindahan ke TBS ini adalah tindakan tepat setelah melihat kembali masalah-masalah dinyatakan tadi. Kerana di TBS, perkhidmatannya serba lengkap dengan pelbagai kemudahan yang tersusun kemas. Pengurusan jadual perjalanan yang lebih efisien sudah pasti memberikan pengalaman berbeza kepada pengguna hentian bas ekspres Greenwood. 


Tiada lagi masalah kesesakan teruk, tiada masalah ulat tiket, tiada masalah pencemaran asap serta bunyi. Ruang menunggu dan tempat makan yang berhawa dingin dan tandasnya pula terjaga bersih. Sudah tentu keselesaan begini yang diharapkan oleh pengguna hentian Greenwood. 

Ada yang merungut kerana kedudukan TBS yang jauh. Tapi pengguna sudah boleh manfaatkan jaringan perkhidmatan awam yang tersedia. Antaranya pengguna yang mahu ke Pantai Timur boleh menggunakan perkhidmatan LRT dan KTM Komuter yang berintegrasi dengan TBS. Manakala pengguna bas dari Gombak dan Sentul boleh menggunakan LRT laluan Ampang di stesen Sentul dan Sentul Timur atau perkhidmatan KTM Komuter di stesen Titiwangsa untuk ke TBS.


No comments:

Post a Comment