Thursday, March 17, 2016

RM1.41b Pinjaman Tanpa Faedah Diluluskan Buat Peneroka



Keyakinan para peneroka terhadap FELDA tidak perlulah dipersoalkan. Walaupun harga minyak sawit mentah mengalami kejatuhan. Namun itu semua adat perniagaan yang punya naik turunnya. Apa yang penting, nasib para peneroka terus dipelihara serta mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Melalui FELDA, pelbagai infrastruktur telah dibangunkan bagi kemudahan para peneroka. Pada awalnya rumah disediakan, sedikit demi sedikit sekolah, surau, masjid, klinik dan lain-lain kemudahan diwujudkan demi kelestarian para peneroka di sesebuah kawasan perladangan. 


Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sebanyak RM1.41b pinjaman TANPA FAEDAH telah diluluskan bagi membaik pulih kediaman 41,429 keluarga peneroka. Setiap peneroka dijangka menerima RM40,000 setiap keluarga. 

Perkara ini mungkin tampak remeh, namun sesiapa yang pernah membuat pinjaman pasti faham. Sebab pinjaman yang dimohon di perbankan konvensional biasanya mempunyai caj kadar faedah 5-8%. Cukup tempoh bila dihitung jumlah yang dibayar adalah berkali ganda. Tapi perkara ini tidak berlaku dalam pakej pinjaman ini.

Untunglah para peneroka FELDA! 

Tidak hairanlah FELDA dipanggil sebagai lubuk emas yang sering dicemburui oleh pengusaha perladangan gergasi lain serta kelompok pembangkang. Kita tahu pelbagai usaha telah dilakukan pembangkang bagi meracuni pemikiran peneroka untuk membenci kerajaan. Kesannya sebaran dakyah pembangkang ini berjaya dibendung dengan penerangan serta bukti prestasi FELDA yang memberansangkan.

Penat jerih peneroka generasi terawal ternyata berbaloi apabila anak cucu mereka kini mewarisi legasi yang menjamin masa depan bukan sahaja dalam sektor pertanian semata-mata. Malahan sudah ramai anak peneroka menceburi bidang profesional seperti doktor, jurutera, arkitek dan juruterbang. Ada juga kalangan anak peneroka berjaya mengukir nama dipersada antarabangsa.

Ternyata kewujudan FELDA ini telah memberi banyak manfaat serta membuka peluang yang besar dalam memajukan golongan bumiputera. Dari kita menjadi majoriti kelompok berpendapatan rendah meningkat kepada majoriti berpendapatan sederhana. Semoga FELDA terus Istoqomah dalam mencipta lebih banyak kejayaan di masa-masa akan datang.

No comments:

Post a Comment