Idea ini sebenarnya telah dibangkitkan pada awal tahun lepas dengan mengambil contoh negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang menyediakan perkhidmatan teksi beroda tiga atau lebih dikenali sebagai Tuk Tuk. Indonesia juga menyediakan teksi bermotor bagi mengambil dan menurunkan penumpang.
Kepelbagaian perkhidmatan dari jenis kenderaan ini adalah berikutan permintaan pengguna yang perlukan caj tambang lebih murah dan cepat untuk ke sesuatu destinasi. Jika ingin sedikit selesa, roda tiga menjadi pilihan seterusnya.
Kali ini idea memperkenalkan teksi bersaiz kecil ditimbulkan sekali lagi. Kali ini dengan idea menggunakan kenderaan bawah 1000cc seperti perodua Axia. Cadangan ini dibuat selepas menilai sudut keselamatan berbanding teksi roda tiga atau motor.
Selain daripada itu bagaimana pula skop operasi Teksi Mini ini. Adakah ia hanya beroperasi di sekitar bandar atau luar bandar? Perancangan begini penting bagi mengelak lambakan teksi di sesuatu lokasi atau operasi bertindan dengan kelas-kelas teksi lain.
Apa yang diharapkan dengan kemasukan Teksi Mini ini adalah supaya industri teksi dapat memberi perkhidmatan berkualiti pada harga kadar tambang lebih rendah. Kerana dua faktor itu menjadi penilaian pengguna. Kalau murah, tapi teksinya pula buruk. Sudah tentu kena kutuk. Kalau mahal cekik darah sampai RM100 untuk perjalanan kurang 8km memang lagilah pengguna serik nak naik teksi.
Pucuk pangkalnya adalah sikap pemandu teksi itu sendiri. Walaupun tambah beberapa kelas teksi dengan caj rendah, tapi masih dengan servis teksi buruk dan enggan guna meter. Sampai bila pun pengguna tak akan naik teksi. Jadi jangan pula pusing menyalahkan SPAD kerana membiarkan perkhidmatan Uber dan Grab beroperasi.
SPAD tidak pernah iktiraf dua servis atas talian terbabit. Tetapi permintaan pengguna semakin hari semakin kuat. Kelemahan bukan pada penguatkuasaan. Tetapi pada sikap! Adakah pemandu teksi sanggup menerima hakikat ini?
No comments:
Post a Comment