Tuesday, May 19, 2015

Kampus Baru Kolej Universiti TAR Ultra-Moden Di Kuantan!@TiongLai


Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARC) telah wujud sejak 1969 dengan kampus pertamanya di Kuala Lumpur dengan hanya 764 pelajar sahaja. Kini sudah ada lima cawangan yang beroperasi di seluruh negara dan mampu menampung lebih kurang 24,000 pelajar.

Terbaru, TARC bakal melebarkan sayap dengan cawangan terbarunya iaitu di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang. Majlis pecah tanah telah pun disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini.

Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, kampus baharu ultra-moden ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bangunan pentadbiran tiga tingkat, satu kolam renang bersaiz olimpik dan sebuah bangunan dua tingkat untuk kafeteria dan pusat pelajar.

"Kampus baharu ini bakal memberi peluang kepada 3,000 pelajar dari seluruh negara dengan menawarkan program peringkat diploma dan ijazah sarjana muda meliputi latihan teknikal serta pendidikan vokasional dalam bidang kejuruteraan, teknologi alam bina serta pembuatan.


"Program ini dirancang dengan teliti dan tersusun berdasarkan keperluan semasa dan unjuran permintaan kepakaran yang diperlukan bagi industri di Wilayah Pantai Timur pada masa depan," kata Tiong Lai.

Kampus baharu ini dijangka siap pada 2016 dan ia bakal menjadi pusat pembangunan modal insan yang berkualiti di Wilayah Pantai Timur. TARC terus komited mengorak langkah dengan mempercepatkan pelan pembangunan di Kuantan bagi menggantikan cawangan sedia ada di Karak.

No comments:

Post a Comment