Wednesday, March 4, 2015

Najib Tinjau Stesen MRT TRX


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerap melakukan lawatan di beberapa projek-projek mega di seluruh negara bagi melihat sendiri sejauh mana perkembangannya. Projek MRT antara yang menjadi perhatian Najib dan tahun lepas tinjauan di Stesen MRT Cochrane telah dilakukan sebanyak dua kali.

Terbaru petang semalam, Najib telah meluangkan masa untuk melakukan tinjauan ke Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX). Turut sama dalam tinjauan ini adalah Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar. 

Selain daripada itu Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT, Datuk Seri Shahril Mokhtar juga hadir bersama mengiringi serta memberi penerangan kepada Najib dalam tinjauan hampir sejam itu.


TRX ini merupakan stesen terbesar di antara tujuh stesen BAWAH TANAH yang akan menjadi penyambung kepada laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya. Ia merupakan stesen pertukaran transit untuk ketiga-tiga laluan tersebut yang juga merupakan stesen penyambung laluan kedua MRT.

Laluan pertama, Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer mempunyai 31 buah stesen yang dijangka bakal menerima sejumlah 1.2 juta penumpang di laluan tersebut. Jumlah besar ini merupakan petanda positif bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sekali gus mengurangkan pencemaran udara asap kenderaan yang berlebihan.

Untuk makluman, kerja-kerja bawah tanah sudah berada pada tahap 75 peratus yang mana kerja penyiapan terowong setakat Januari mencapai tahap 95 peratus. Keseluruhan laluan Sungai Buloh-Kajang dijadualkan selesai selewat-lewatnya menjelang minggu pertama bulan April.


Setakat ini fasa pertama pembinaan mengikut jadual dan jika kelancaran dari setiap peringkat pembinaan terus konsisten. Pembukaan fasa kedua laluan MRT dijangka akan bermula pada Julai 2017.


No comments:

Post a Comment