Thursday, March 5, 2015

Gandingan YPPM dan KUIN Luaskan Kajian Institusi Pondok


Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang dipimpin oleh rektor Prof. Datuk Mohd Yusoff Kasim telah menubuhkan Pusat Kajian Pondok (PKP) bagi merintis kajian dan penyelidikan berkaitan setiap sudut institusi pondok.

Mohd Yusoff juga telah melantik Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Dato Dr Mashitah Ibrahim sebagai Pengarah PKP yang pertama memandangkan latarbelakang pendidikan dan pengalaman dalam perkembangan institusi pondok di negara ini.

Mashitah dalam kenyataannya kepada media berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan pihak KUIN dan akan memastikan PKP menjadi pusat kecemerlangan yang boleh dibanggakan. Segala pengalaman, kebolehan dan ilmu pengetahuan yang ada akan  dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mencapai matlamat PKP.

Peranan PKP ini adalah bagi melakukan kajian lebih aktif terhadap institusi pondok dan sistem pengajiannya. Kajian yang dijalankan ini bukan sahaja melibatkan sistem institusi tanah air tapi meliputi sistem pengajian pondok di negara luar seperti Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

Kolaborasi YPPM dan KUIN merupakan langkah tepat memandangkan masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri yang saling melengkapi dan gandingan ini diharap dapat menghasilkan penyelidikan yang berkualiti.

Namun begitu beberapa cabaran bakal dilalui PKP dengan terdapat banyak isu-isu muncul berkaitan institusi pondok. Antaranya adalah ancaman pemikiran liberalisme, pluralsime dan fahaman ekstremisme oleh kelompok-kelompok yang bertopengkan Islam.

"Pelbagai dakyah dan ajaran sesat yang memberi tafsiran konsep songsang seperti kumpulan militan Islamic State yang mampu mempengaruhi remaja melalui penggunaan media sosial" jelas Mashitah.

Semua isu-isu ini perlu diberi perhatian serius dan analisis terperinci bagi mengenalpasti kelemahan dan penambahbaikan untuk dimuatkan dalam hasil kajian nanti. PKP juga akan memantapkan jaringan kepakaran dan komuniti bagi memperolehi output yang bermutu.

No comments:

Post a Comment