Friday, August 23, 2013

Beri Laluan Muka Baru..Bye bye Otai UMNO!


Baru-baru ni perisik berkesempatan tumpang sekaki dalam sidang media Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya. Soalan yang menarik perhatian adalah mengenai tindakan ramai otai UMNO tidak mahu bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT). 

Antara otai-otai UMNO yang sudah umum keputusan tak mahu bertanding ialah Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Menteri Besar Perak Dato’ Seri Dr.Zambry Abd Kadir dan Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.


“Kita tak ada buat apa-apa saranan. Kita telah mewujudkan satu suasana mana-mana ahli UMNO yang nak bertanding, bebas berbuat demikian berdasarkan pada hak yang ditetapkan oleh perlembagaan baharu UMNO.

“Dalam pada itu ada juga yang merasakan mereka mahu memberi laluan kepada orang lain. Jadi saya hargailah kalau itu pendirian mereka. Tetapi di samping itu kalau mereka nak menawarkan diri, saya juga hargai sebab mereka nak menyumbang kepada kepimpinan UMNO di peringkat-peringkat tertentu” kata Najib kepada wartawan.

Rasanya ramai ahli-ahli UMNO faham apa yang tersirat dan tersurat dalam kenyataan Presiden UMNO ini. Kalau kita perhatikan sendiri memang ramai barisan pimpinan UMNO yang memegang jawatan tertinggi terlalu lama.

Ya lah kita sendiri gemar mengkritik barisan kepimpinan pihak lawan sebagai golongan purba atau dinasor. Takkan nak buat perkara serupa. Dah ibarat meludah kelangitlah pula. Maka, mereka yang hampir-hampir memasuki era purba atau dinasorr tu, eloklah bagi peluang kepada muka baru.

Seharusnya golongan yang berada dalam kategori usia “rumah kata pergi, kubur kata mari” ikutlah langkah otai-otai ini, terutama yang lebih tua dari Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta yang kalah dalam Pilihanraya Umum lalu.

Agak janggal bila ada pemimpin yang ditolak rakyat dalam PRU lalu boleh pula merasakan diri penting dan layak memegang jawatan tertinggi parti. Ditolak satu hal, tak dicalonkan langsung untuk bertanding! Nak kata apa? Rasa hebat atau perasan hebat!

Golongan macam ni, eloklah angkat kaki untuk bagi laluan kepada orang lain yang lebih berkaliber dan relevan. Muncul sahaja barisan baru yang cuba menggugat kedudukannya, tak semena-mena bersilat dengan seribu macam alasan. Kononnya akan timbul  perpecahanlah, macam lawan ibu dan anaklah. Sedangkan yang bercakap tu pun lupa, yang diri sudah menjadi LIABILITI kepada parti!

Ada juga yang menang dalam PRU tetapi tak sedar umur sudah “Lepas Isyak”. Pernah jadi MB berpuluh tahun tetapi sepanjang tempoh itu negeri itu antara yang paling mundur sehingga ibu negerinya ibarat “ghost-town” pada waktu malam. Hanya setelah MB baharu ambil alih, barulah nampak pembangunan semakin pesat.

Bagi golongan “Lepas Isyak” ini, lupakanlah angan-angan mahu bertanding jawatan Naib Presiden ataupun MT. Lebih baik tumpukan perhatian kepada jawatan sedia ada. Janganlah rasa syok sendiri konon pengalaman dan buah fikiran anda masih diperlukan, walhal nak buka laptop pun tak pandai.

Sudah-sudahlah! Para penyokong UMNO pun sudah sampai tahap rimas dan meluat melihat mereka yang perasan hebat ini. Kerana majoriti golongan muda dalam UMNO inginkan nafas dan idea baru bagi mengekalkan relevansi parti pada golongan belia.

No comments:

Post a Comment