Tuesday, December 8, 2015

McDonald's AS Bukan Milik Yahudi!


Penafian ini perlu dinyatakan dengan jelas kerana ia merupakan tanggapan yang sering kita dengar dari suara-suara pemboikot. Ramai menyangkakan bahawa syarikat induk McDonald's Corporation (McDonald's AS) yang berpangkalan di Amerika Syarikat ini adalah syarikat milik Yahudi dan merupakan penyumbang utama dana kepada Zionis-Israel. 

Ia merupakan satu tuduhan liar tanpa memahami bagaimana syarikat gergasi antarabangsa seperti McDonald's AS ini beroperasi. Apa yang sedihnya tuduhan ini dipersetujui oleh segelintir pihak tanpa kajian mendalam terhadap dakwaan. Tanpa memahami situasi, dihebah meluas pula di laman sosial.

Mari kita fahami secara mudah modul perniagaan McDonald's AS ini. McDonald's AS merupakan sebuah syarikat senarai awam (Public Listed) di Bursa Saham New York (NYSE) sejak tahun 1968. Apabila sudah tersenarai awam pemilikannya adalah mengikut pegangan saham. 

Sahamnya pula bebas dijual beli oleh sesiapa sahaja yang berkemampuan dan berminat. Ini bermakna organisasi ini tidak dikuasai individu atau entiti tertentu sahaja. Sehingga Mac 2014, terdapat lebih daripada 1.8juta pemegang saham McDonald's AS yang terdiri dari pelbagai latar belakang bangsa, agama dan negara. 




Bukan rahsia, apabila sejumlah besar unit saham McDonald's AS ini turut dipegang oleh para pelabur beragama Islam. Fakta lain yang perlu ditekankan adalah tiada mana-mana pemegang saham ini memiliki lebih daripada 10% jumlah saham.

Sebagai contoh, jika kita lihat pada jadual dibawah. Pemegang saham terbesar sebanyak 6% dikuasai oleh Vanguard Group Inc dengan lebih 55juta unit saham. Kedua terbesar pula dari State Street Corporation yang miliki 4.86% yang mewakili lebih 44 juta saham. Terendah dipaparkan adalah Columbia Management Investment Advisers yang memegang 0.6% berjumlah 5.5juta saham. 



Rata-rata senarai teratas pemilik saham ini terdiri daripada Institusi kewangan dan pelaburan dari seluruh dunia. Cuba bayangkan kita baru lihat senarai 20 teratas pemegang saham terbesar McDonald's. Tidak sampai 0.001 peratus dari jumlah 1.8 juta pemegang saham keseluruhan disebutkan. 

Sebagai sebuah syarikat tersenarai awam, McDonald's AS tertakluk kepada peraturan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) AS, di mana setiap perbelanjaan perlu diaudit dan dilaporkan sebagai tanggungjawab kepada pelabur. 

Dalam model perniagaan begini, segala keputusan adalah melalui lembaga pengarah dan sudah tentu lembaga pengarah tidak mahu melibatkan diri dalam konflik yang boleh menjejaskan kedudukan para pelabur. Risikonya terlalu besar untuk dilibatkan. Jika ini berlaku sudah tentu, pelabur akan lari meninggalkan McDonald's dan ini mengecilkan modal perniagaan organisasi. Ia asas yang dipraktikan oleh mana-mana syarikat senarai awam di Malaysia.

Kesimpulannya, tiada satu pun petunjuk yang menyatakan bahawa McDonald's ini adalah milik Yahudi. Dari point pertama sahaja, sebagai sebuah syarikat senarai awam di bursa saham, sudah cukup mematahkan fitnah yang tidak berasas ini.

Artikel berkaitan:
McDonald's "Matching Gift" Disalahtafsir
Keuntungan McDonald's Kembali Kepada Negara
Royalti McDonald's Bukan Duit Darah Palestine
McDonald's AS Bukan Milik Yahudi!
Boikot McDonald's: Tindakan Ala Zionis Rakyat Malaysia?

No comments:

Post a Comment