Friday, November 28, 2014
Meremajakan UMNO! Bukan Pada Usia Semata-mata!
Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang meremajakan parti telah disalahtafsir sesetengah pihak. Istilah meremaja yang disampaikan bukan pada usia sahaja. Tetapi kepada tindakan, gerakan, pendekatan dan urus tadbir yang dilihat lebih mesra pengundi generasi muda.
Tidak dinafikan peri pentingnya kemasukan generasi muda dalam menjadi penyumbang kelangsungan parti. 'Generasi muda, generasi pelapis pemimpin negara' adalah kata-kata yang sering kita dengar. Akan tetapi kelahiran generasi muda dalam kepimpinan sama ada parti mahupun negara perlulah kena pada tempat dan masanya.
Kematangan pengalaman dan memahami nadi rakyat adalah antara kriteria asas yang dapat menambat hati pengundi untuk terus menerima parti sekaligus diangkat sebagai pemimpin. Apa yang dinyatakan ini tampak terlalu umum, kerana huraiannya bergantung kepada faktor keperluan semasa rakyat di satu-satu kawasan mengundi.
Jadi istilah meremajakan parti ini mempunyai skop yang luas dan perlu diberikan pemahaman khusus. Kemasukan generasi muda ke dalam parti tidak bermakna kita mengenepikan yang lama. Kalau ini berlaku, ia merupakan langkah melumpuhkan parti.
Proses MEREMAJAKAN ini menyentuh beberapa perkara. Iaitu membuka peluang dan ruang yang lebih kepada generasi muda untuk memainkan peranan dalam parti. Namun setiap langkah memerlukan idea dari yang lama supaya ada check and balance dalam setiap tindakan.
Manakala yang lama pula perlulah menyelami rentak generasi muda kini, seperti mendekati media-media sosial yang menjadi medium perhubungan utama golongan muda sekarang. Ia merupakan platfom paling berkesan untuk menyampaikan mesej dan mendapat respon segera rakyat.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Ehsanuddin Narrashid mempunyai pendapat tersendiri yang boleh dijadikan strategi. Beliau berpendapat setiap cawangan boleh memainkan peranan yang berkesan dalam merealisasikan peremajaan parti ini.
Kiraan mudah setiap ketua cawangan harus mencari dua orang profesional muda bagi setiap cawangan untuk dijadikan AJK Cawangan. Bermakna dari setiap cawangan yang berjumlah 20,800 ini mampu mewujudkan seramai 41,600 orang ahli profesional muda. Ia akan menjadi gelombang peremajaan terbesar dalam UMNO jika angka ini terus konsisten setiap tahun.
Gambaran mudah ini, perlulah disertakan dengan tindakan segera dan tindakan itu mesti bermula sekarang bagi meningkatkan momentum sokongan generasi muda terhadap parti.
No comments:
Post a Comment