Biadap! Itu yang dapat digambarkan pada sikap sesetengah pemandu teksi yang mengambil kesempatan terhadap penumpang yang terdiri daripada pengguna tempatan dan pelancong asing.
Baru-baru ini pada 22 Mei, berlaku insiden di mana seorang pengguna tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Wan ingin mendapatkan perkhidmatan teksi dari KLCC ke Bangsar tetapi pemandu teksi enggan menggunakan meter dan cuba mengenakan caj sebanyak RM50!
Alasan tambang semahal itu adalah kerana jalan sesak untuk ke sana!!
Apa yang mengecewakan, Wan berhadapan juga situasi serupa dengan dua teksi lain di lokasi sama. Dua teksi tersebut turut enggan menggunakan meter dan mengenakan caj semahal RM50!!
Selepas permintaan menggunakan meter daripada tiga pemandu teksi ditolak, beliau bergerak ke perhentian seterusnya tidak jauh dari KLCC bagi mendapatkan teksi lain.
“Sejak saya bertanya meter, kumpulan teksi terbabit sudah memerhatikan gerak-geri saya. Sehingga saya naik teksi lain, mereka melemparkan perkataan ‘boo’ dan cuba memalukan saya depan khalayak,” kata Wan.
“Saya ternampak ada pelancong wanita asing termasuk seorang remaja dari satu keluarga Arab berpakaian seksi berada di situ. Beberapa pemandu teksi yang berada di situ tidak segan silu bercakap lucah dalam bahasa Malaysia walaupun pelancong itu tidak mahu menggunakan perkhidmatan teksi mereka,” jelas Wan.
Dalam kejadian ini, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengutuk sekeras-kerasnya sikap degil segelintir pemandu yang melanggar undang-undang dengan tidak menggunakan meter! Lebih mengecewakan adalah sikap pemandu teksi yang berperangai buruk mengeluarkan kata-kata lucah terhadap pelancong asing!
Adalah memalukan jika gelaran pemandu teksi sebagai Duta Kecil Malaysia bersikap biadap dan melanggar undang-undang! Adakah imej rakyat Malaysia begini yang ingin kita cerminkan ke mata dunia?
Walaupun sudah berpuluh-puluh operasi dilakukan oleh Penguatkuasa SPAD yang diketuai oleh Datuk Che Hasni di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi menangkap pemandu teksi yang tidak mahu menggunakan meter.
Namun usaha ini seperti tiada penghujungnya jika pemandu teksi sendiri masih berdegil dan tetap terus melanggar undang-undang. Kerana sikap segelintir mereka inilah menyebabkan industri teksi di negara ini mendapat imej buruk di mata pelancong dari serata dunia.
Bila ini terjadi, jangan salahkan kerajaan dan SPAD apabila tindakan tegas di ambil ke atas pemandu teksi yang ditangkap melakukan kesalahan. Mengikut Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM500,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Para pengguna teksi pula diingatkan supaya tidak mengambil sikap acuh tak acuh bila berhadapan dengan situasi ini. Gunakan hak anda dan laporkan salah laku ini kepada pihak berkuasa SPAD di talian 1800-88-9600.
No comments:
Post a Comment